Daripada Aisyah radliallahu 'anha berkata: Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan bersabda: "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir dari Ramadan".
Pengajaran
Rasulullah SAW menyuruh beriktikaf pada 10 malam terakhir dari Ramadan untuk memburu lailatul Qadr.
Bersungguh beramal pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh lailatul Qadar yang ganjaran amalan pada malam tersebut melebihi 1000 bulan iaitu 83 tahun 4 bulan..
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)
"malam kemuliaan (lailatul Qadr) itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).
Sepatutnya kita tidak hanya memilih malam-malam tertentu untuk memburu lailatul Qadar kerana tidak ada satu tarikh yang tepat dan ia dirahsiakan untuk menjadi pendorong kepada kita mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadan.
Bangunkan ahli keluarga kita untuk bersama merebut peluang bertemu lailatul Qadar
Perbanyakkan iktikaf, pelihara solat fardhu berjemaah dimasjid, tingkatkan tilawah al-Quran, perbanyakkan doa dan permohonan ampun kepada Allah.
Bayangkan seolah-olah inilah Ramadan terakhir kita dan mungkin ini peluang terakhir untuk bertemu Lailatul Qadar