Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa.
Pengajaran
Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan-kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadan) yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadan kembali bersih seperti salji putih.
Zakat fitrah untuk memastikan orang yang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama keseluruhan umat Islam. Islam tidak ingin melihat di hari pertama Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.
Zakat fitrah perlu dibayar bermula dari 1hb Ramadan sehingga sebelum solat Sunat Aidil Fitri pada 1hb Syawal.
Golongan yang wajib membayar zakat fitrah:
Islam
Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadan dan juzuk terawal Syawal.
Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakatnya seperti RM 7.00 Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah
JANGAN lupa bayar ZAKAT FITRAH. Moga zakat fitrah yang dikeluarkan akan menjadi penampal kekurangan ibadat puasa kita.