Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus."
Pengajaran
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti.
Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa juga kepada golongan fakir miskin.
Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.