Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda…Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti….
Pengajaran
Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan hilang rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.
Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil daripada puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap tujuannya. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki disana dengan ganjaran keampunan.
Bukan sekadar rasa nikmat selepas bertahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keihlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.
Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala yang lain agar akur kepada perintah Allah.
Mohon jauh daripada puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi whatsapp, telegram, FB serta bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".