Daripada Amru bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya, dia berkata; Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai sanak saudara, aku menyambung silaturahim tetapi mereka memutuskannya, aku memaafkan tetapi mereka berbuat zalim, aku berbuat baik tetapi mereka berbuat jahat, apakah aku harus membalas perbuatan mereka?" maka Baginda SAW menjawab: "Jangan engkau lakukan, dengan begitu bererti engkau tinggalkan mereka semua, tetapi ambillah kebaikannya dan sambunglah hubungan silaturahim dengan mereka, kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa memberimu pertolongan selama engkau mampu konsisten begitu."
Pengajaran
Balaslah keburukan orang lain dengan kebaikan
Orang yang berusaha menghubungkan silaturahim, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang lain yang berbuat buruk padanya akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah
Segala amalan ikhlas daripada kita tetap akan mendapat ganjaran dan balasan kebaikan daripada Allah
Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintah menghubungkannya. Orang berbuat aniaya serta kezaliman pada kita, kita sewajarnya memaafkan mereka.
Dalam hubungan kita berkeluarga dan bermasyarakat, balaslah keburukan dengan kebaikan. Jadilah kita orang yang pemaaf dan penyambung kasih sayang.