Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong daripada haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan daripada wang kami sendiri."
Pengajaran
Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin.
Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja yang dilarang.
Imam an-Nawawi ketika mengulas hadis itu menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian daripada sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).
Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun daripada sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)
Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil daripada bahagian korban. Upah itu boleh berbentuk wang atau selainnya yang tidak daripada bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.
Saidina Ali menyebut: Maka untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil daripada wang kami sendiri.
Jika diberi kepada penyembelih daripada apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m.s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)
Justeru itu, diingatkan kepada para petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian daripada sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor dan lain-lain melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.
Oleh itu marilah kita bersikap RAHMAH sebagai petugas, penyembelih juga pelapah dalam melaksanakan ibadah korban.