Audio AI — dijana oleh SuperGrok TTS. Tekan perkataan Arab untuk terjemahan & sebutan khusus.
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mendirikan Ramadan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu"
Rujukan
Sahih Bukhari No: 37 Dar Risalah.
Pengajaran
Mendirikan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan malam hari dengan solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah Al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal soleh kerana menyakini akan amalan sunnah.
Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata daripada Allah Ta’ala. Kita tidak merasa berat melaksanakan amal. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.
Semoga ibadat qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi instrumen menghapuskan dosa-dosa yang lalu
Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barang siapa yang berdiri bersama imam (solat Sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.' (Sunan Tirmizi No: 806) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hasan Sahih
Pastikan kita dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid sedangkan imam masih bersolat.