Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Islam dibangunkan di atas lima (tiang); bersaksi tidak ada ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan".
Pengajaran
Islam dibangunkan atas lima perkara iaitu rukun Islam yang terdiri daripada kalimah syahadah, Solat 5 waktu, zakat, puasa dan ibadat haji.
Syahadah adalah satu pengakuan yang dilahirkan oleh perkataan yang terbit daripada keyakinan hati yang terhasil daripada ilmu pengetahuan tentang pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya.
Solat ialah melaksanakan ibadat sembahyang dengan sebaik-baiknya mengikut rukun dan peraturan dengan khusyuk berserta ikhlas dan kehadiran hati ketika melaksanakannya.
Zakat adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang diwajibkan kepada orang yang berhak menerimanya.
Berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.
Ibadat Haji adalah menunaikan segala pekerjaan ibadat di Mekah menurut peraturan yang ditetapkan kepada setiap mukalaf yang berkemampuan dan berkuasa.
Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan.
Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih daripada satu, kenderaan lebih daripada satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.
Barangsiapa menunda-nunda sampai lebih lima tahun, padahal sudah memiliki kemampuan, maka dia benar-benar jauh daripada kebaikan.
Allâh Azza wa Jalla berfirman, “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku anugerahi kesihatan badan, Aku telah luaskan penghidupannya, telah lewat padanya lima tahun, (namun) dia tidak mendatangiKu (iaini: melakukan ibadah haji), dia benar-benar dicegah (daripada kebaikan). (HR al-Baihaqi No : 10695) Status: Hadis Sahih
Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung sekarang, bila lagi?.