Daripada Abdullah Ibnu Masud RA katanya Rasulullah SAW bersabda: “Lakukanlah haji dan umrah dalam waktu yang berdekatan kerana keduanya menghapuskan kefakiran dan dosa-dosa seperti al kir (bahan yang diguna untuk menghilangkan) kekotoran besi, emas dan perak. Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga”
Pengajaran
Ibadah Haji dan umrah yang dilakukan dengan ikhlas akan menjadi penghapus dosa seperti bahan kimia yang boleh menghilangkan kekotoran pada logam.
Ibadat haji dan umrah dilaksanakan walaupun melibatkan perbelanjaan yang besar namun Rasulullah SAW menjanjikan keberkahan rezeki dan dijauhkan daripada kemiskinan. Allah akan anugerahkan rezeki daripada jalan yang tak pernah di sangka, kehidupan yang lebih tentram dan membuatnya makin khusyuk beribadah kepada Allah SWT.
Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (Sahih Bukhari No: 1683) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Haji dan umrah yang dilaksanakan antara keduanya menjadi penghapus dosa (kecuali dosa besar) seperti al-kir (bahan penghilang karat) menghilangkan karat besi.
Mereka yang diterima ibadah hajinya (mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya.
Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.