Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW menyampaikan khutbah kepada kami seraya bersabda: "Wahai sekalian manusia, Allah telah mewajibkan atas kalian untuk menunaikan ibadah haji. Kerana itu, tunaikanlah ibadah haji." Kemudian seorang laki-laki bertanya, "Apakah setiap tahun ya Rasulullah?" Nabi diam, hingga laki-laki itu mengulanginya hingga tiga kali. Maka baginda pun bersabda: "Sekiranya aku menjawab, 'Ya' nescaya akan menjadi kewajiban setiap tahun dan tentu kalian tidak akan sanggup melaksanakannya. Selanjutnya Nabi SAW bersabda: tinggalkanlah apa yang aku tinggalkan (tidak menyuruh) pada kalian, sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu dahulu adalah banyaknya pertanyaan mereka dan suka berdebat (menentang) para Nabi mereka. Apabila aku memerintahkan kamu mengerjakan sesuatu, laksanakanlah mengikut kemampuan kamu sekalian, dan apabila aku melarang kalian mengerjakan sesuatu, maka tinggalkanlah segera."
Pengajaran
Ibadat Haji hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup kepada setiap Muslim yang berkuasa (sihat dan aman) dan memiliki kemampuan (wang dan keperluan).
Laksanakanlah apa sahaja perintah Nabi SAW dan tinggalkan apa yang tidak diperintahkan.
Umat terdahulu binasa kerana banyak bertanya dan suka menentang (berbantah) terhadap para Nabi mereka.
Laksanakanlah segala yang diperintahkan mengikut kemampuan kita dan berusaha bersungguh-sungguh serta segera untuk meninggalkan sesuatu yang dilarang.
Islam itu agama yang mudah, tidak membebankan penganutnya daripada melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh seseorang.
Usahakanlah persediaan untuk mengerjakan ibadah haji bagi mereka yang belum menunaikannya daripada segi wang ringgit dengan menabung di Tabung Haji.