Daripada Muaz bin Jabal RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi seluruh makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni seluruh makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan.
Pengajaran
Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri di mana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa di dalamnya.
Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang syirik dan bermusuhan sesama mereka.
Digalakkan kita memperbanyak ibadat dan memohon keampunan kerana Nabi SAW bersabda:
Daripada Aisyah RA dia berkata, pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah taala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak daripada sejumlah bulu kambing." (Sunan Tirmizi No: 739) Dar Kutub Ilmiyyah. Status Hadis dishahihkan Albani namun Dhaif (lemah) disisi Imam Bukhari
Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247)
Walau bagaimanapun ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti solat Nisfu Syaaban 100 rakaat atau bacaan-bacan khusus.
Marilah kita merebut peluang memperbanyak ibadat, doa dan memohon keampunan.