Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.
Pengajaran
Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3
“Demi fajar, Dan malam yang sepuluh, Dan yang genap dan yang ganjil”.
Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)
Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).
Ibnu Abbas, Ibnu Al-Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413).
Allah suka kepada hamba-Nya yang memperbanyak amalan pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah.
Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat paling tidak Isnin atau Khamis di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir
Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat Arafah, perbanyakkan doa semasa di Arafah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban.