Daripada Abi Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Orang yang melaksanakan ibadat haji ke Baitullah dan ia tidak bersetubuh dengan isterinya, tidak melakukan kefasikan maka ia akan kembali seperti ketika dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa)
Pengajaran
Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan
Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats iaitu hubungan suami isteri, fusuq iaitu meninggalkan perbuatan fasik dengan melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan. Maka ia kembali daripada ibadat haji dalam keadaan bersih daripada dosa. Sebagaimana seseorang keluar daripada perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang yang memenuhi syarat ini, dia akan bersih daripada dosa.
Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan mematuhi larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-Majmu’ menyatakan: Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah daripada orang yang tidak mengetahuinya.
Ayuh pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa kita.