Daripada Ibn Abbas radliallahu ‘anhuma, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan daripada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura’, dan puasa bulan Ramadan.”
Pengajaran
Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)
Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa (dosa kecil) setahun yang lalu. Daripada Abu Qatadah Al Anshari radliallahu ‘anhu, beliau mengatakan:
سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة
Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura’, Baginda menjawab: “Puasa Asyura’ menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (Musnad Ahmad No: 22011) Dar Ihya Turath Arabiy.
Bagi yang tidak berkesempatan puasa Tasu'a (9hb Muharam), masih lagi berpeluang melaksanakan puasa Asyura pada keesokan hari (10hb Muharam).
Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:
Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari setelahnya.
Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.
Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.
Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura, jika berkemampuan, berpuasa tiga hari atau dua hari atau paling tidak sehari iaitu pada 10hb Muharam. Semoga ia menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.