Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya”
Pengajaran
Seseorang yang mengambil harta orang lain (berhutang), dengan keinginan untuk membayarnya (berniat untuk membayarnya ketika di dunia), Allah akan membayar bagi pihaknya (Allah akan membantunya untuk membayar seperti melapangkan rezekinya).
Menurut Imam al-Munawi, sesiapa berniat untuk membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian dia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil daripada kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang reda kepadanya (dan tidak menuntut haknya) atau dibayar oleh orang lain.
Barang siapa mengambil harta orang lain (berhutang) dengan keinginan untuk memusnahkannya (berniat tidak ingin membayarnya), Allah akan memusnahkan hartanya (Allah menyempitkan rezekinya, menimpakan musibah dan menghapuskan barakah pada hartanya).
Banyakkan doa agar terhindar daripada banyak hutang.